Assalammualaikum uolls..ha Mas dah janji nak kongsikan
pasal pantang larang semasa berpantang kan? So apa tunggu lagi? Let’s check dis
out..
Dilarang tidur tidak berbantal
Tidur tidak berbantal akan mengakibatkan ibu yang dalam
berpantang akan mengalami sakit kepala, ini juga berkemungkinan darah kotor
sukar untuk keluar dan angina naik ke kepala menyebabkan sakit meroyan.
Memakai sarung kaki (stokin)
Cara ini untuk menjaga agar tapak kaki tidak sejuk dan
dimasuki angin, jika angin menguasai badan, kesihatan ibu-ibu akan terganggu
dan menjadi lemah.
Jangan duduk mencangkung
Jika ibu-ibu yang di dalam pantang duduk mencangkung akan
menyebabkan rahim yang masih lemah tergelungsur atau terturun. Ia adalah salah
satu punca terjadinya tombong dan ini boleh mengakibatkan tumpah darah.
Mandi duduk di bangku
Ketika mandi hendaklah duduk di bangku untuk menjaga
kesihatan peranakan. Dengan duduk di bangku, ibu-ibu tidak banyak mengeluarkan
tenaga dan meneran otot rahim kerana ibu-ibu masih dalam keadaan lemah.
Rapatkan kaki semasa tidur
Jika tidur hendaklah merapatkan kaki. Cara ini untuk
memastikan tulang punggung merapat semula dan bahagian intim yang kena jahit
tidak terkoyak semula.
Jangan terlalu aktif
Ibu yang baru melahirkan hendaklah bertenang di atas
tempat tidur selama seminggu. Ada baiknya jika ada pembantu yang boleh
menguruskan bayi dan rumahtangga. Ibu memerlukan rehat untuk memulihkan kemabli
tenaga yang telah hilang dan supaya badan benar-benar dapat berehat.
Jangan makan ubi-ubian
Ibu-ibu dalam pantang tidak dibenarkan makan makanan dari
jenis ubi-ubian seperti keladi, keledek dan ubi kayu kerana makanan ini boleh
mengganggu pencernaan dan ibu-ibu mungkin terasa kembung dan sakit perut. Terutama
ibu-ibu yang menyusukan anak kerana penyakit itu boleh berjangkit kepada anak.
Jangan tidur di waktu matahari naik
Ibu-ibu dalam pantang tidak dibenarkan tidur diwaktu
matahari naik, ini boleh menyebabkan badan ibu bertambah lesu dan sakit-sakit,
lebih baik ibu-ibu berjalan di tepi tingkap untuk mendapatkan cahaya matahari
pagi yang mengandungi Vitamin D yang tinggi.
Jangan tidur di waktu senja
Ibu-ibu yang baru melahirkan dilarang tidur di waktu
senja, kerana di waktu senja adalah masa syaitan berkeliaran, jika diamalkan
mungin fikiran ibu-ibu yang dalam pantang akan terganggu dan boleh menyebabkan
penyakit gila.
Jangan menjahit pakaian dan membaca
Ibu-ibu yang dalam pantang dilarang menjahit dan membaca
kerana keadaan fizikal ibu yang lemah dan boleh menyebabkan ibu-ibu cepat rabun
sebelum tua.
Tidak boleh keluar rumah waktu senja
Ibu-ibu yang dalam pantang dilarang keluar rumah waktu
senja kerana waktu ini syaitan berkeliaran dan boleh mengganggu ibu-ibu yang
lemah fizikal dan mentalnya.
Ibu jari tidak boleh terhantuk
Ibu-ibu yang berpantang hendaklah menjaga ibu jarinya
supaya tidak terhantuk. Jika terhantuk, kesakitan boleh merangsang saraf lalu
menyebabkan ibu pitam atau bentan jika ibu itu seorang yang lemah.