Penulis adalah Dua dari kiri, gambar Disember 2013 |
Bismillahirrahmanirrahim
(30 Mac 2014)
Alhamdulillah, sewaktu saya menulis catatan ini saya sedang bekerja dan masih diberikan peluang untuk menjalani kehidupan seperti manusia normal yang sihat. Syukur kepada Allah SWT. Sewaktu saya memulakan catatan ini, saya sudahpun melepasi jangka setahun dari tarikh saya disahkan mengidap kanser hodgkin lymphoma. Ia bukan suatu pengalaman yang indah, tetapi ia cukup penting untuk dikongsi dengan sesiapa sahaja yang ditakdirkan untuk menerima ujian 'pengidap Kanser'.
Seingat saya, ia bermula dengan keletihan dan batuk yang berpanjangan. Sangkaan saya, kemungkinan saya dijangkiti penyakit batuk kering kerana ketika itu ayah saya telahpun disahkan mengidap tibi. Saya dibawa ke hospital dan didapati ada ketulan di leher. Untuk mengesahkan penyakit apa yang menjadi punca ketulan itu, maka saya diminta melakukan biopsi. Iaitu pembedahan membuang tisu tersebut untuk dijadikan spesimen untuk pengesahan penyakit. Saya melalui pembedahan tersebut dan kemudian disahkan mengidap kanser Hodgkin Lymphoma.
Pada hari keputusan biopsi, dalam hati saya mempunyai beberapa sangkaan buruk. Saya ada mengandaikan bahawa kemungkinan saya bukan mengidap batuk kering. Boleh jadi saya mengidap kanser paru-paru atau seumpamanya. Saya menyimpan banyak andaian negatif dengan harapan keputusan itu adalah lebih baik. Ternyata, andaian saya benar-benar 'menjadi kenyataan' apabila sepupu saya sendiri selaku doktor onkologi memberitahu yang saya disahkan mengidap kanser hodgkin lymphoma. Kemudian saya diminta bergegas menemui pakar haematology dan membuat CT Scan. Saya disahkan berada di stage ke-2.
Sebaik diberitahu oleh pakar bahawa saya berada di peringkat ke-2. Ada sedikit kelegaan. Namun, saya tahu perjalanan saya masih panjang dan tahun 2013 akan menjadi tahun yang sangat berbeza dalam sejarah kehidupan saya. Saya akui, doktor sangat berusaha untuk membantu dengan menyusun jadual bagi persiapan chemo pod dan juga memulakan proses kimo dalam masa terdekat. Saya juga 'Bersetuju' untuk melakukan kimoterapi dan meminta agar doktor membantu mempersiapkan proses yang perlu seberapa segera.
SAYA BELUM MENJALANI KIMOTERAPI
Namun, sehingga sekarang saya belum menjalani kimoterapi. Kenapa? Nanti saya akan jelaskannya. Saya secara peribadi tidak mempunyai sebarang 'bantahan' terhadap kimoterapi pada awal saya disahkan mengidap kanser. Malah, saya akui sehingga sekarang saya tidak 'membantah' sesiapa yang ingin melakukan rawatan itu. Namun, ada beberapa perkara yang merubah keputusan saya dengan drastik sehingga saya berkeras untuk tidak menjalani kimoterapi. Perkara ini bagi saya amat penting untuk dikongsikan kepada pembaca, agar kita tahu apa yang bakal dilalui selepas kita memilih sesuatu keputusan.Saya mahu pembaca jelas bahawa saya tidak menentang rawatan kimoterapi, tetapi saya mahu pembaca tahu kenapa saya membuat keputusan 'menolak' rawatan itu sehingga sekarang. Ia berkait dengan banyak sudut dan sisi kehidupan. Ia memerlukan pertimbangan yang rasional dan matang. Adakah ia sukar? Ya, memang ia suatu keputusan yang sukar! Kerana keputusan ini boleh membawa kepada kehilangan nyawa. Saya tidak main-main dengan keputusan saya. Saya harap, pembaca juga tidak mengambil jalan mudah dengan membuat keputusan berdasarkan pihak kedua atau ketiga. Pembaca perlu 'memutuskan' sendiri. Kerana ini kehidupan kita dan kita perlu memahaminya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
MASIH ADA PILIHAN SELAIN KIMOTERAPI?
Soalan ini saya letakkan di awal perkongsian. Namun, huraiannya saya akan berikan di pertengahan catatan ini. Kenapa? Kerana saya mahu pembaca sedar bahawa kimoterapi "Bukan satu-satunya kaedah rawatan melawan kanser".Ya, masih ada rawatan alternatif selain kimoterapi. Tetapi ia bukan rawatan yang percuma dan mudah. Ia memerlukan banyak proses dan pengetahuan. Ia bukan sekadar memerlukan kemahuan yang kuat, malah ia memerlukan keputusan demi keputusan untuk melaluinya peringkat demi peringkat. Saya akan jelaskan selepas ini.
AMBIL MASA UNTUK MEMBUAT KEPUTUSAN
Sebelum membuat keputusan dalam memilih kaedah rawatan. Pembaca perlu faham banyak situasi sendiri. Saya bersyukur kerana Allah masih memberikan saya 'Kekuatan' untuk berbincang dan merancang walaupun saya dalam keadaan uzur. Saya akui, ada pihak yang sudah terlalu lemah untuk menilai situasi sendiri apabila dia disahkan mengidap kanser. Keuzuran itu menyebabkan dia buntu dan akhirnya 'merelakan' apa sahaja keputusan dibuat oleh orang di sekeliling. Jika ada sanak-saudara yang terkena kanser dan anda sebagai "pembuat keputusan". Maka, anda wajar membaca buku ini. Anda perlu menilai perkara-perkara ini dengan sedalam dan sejauh mungkin.MENILAI SITUASI KEWANGAN
Biar saya jelaskan situasi saya secara terperinci sewaktu disahkan mengidap kanser. Saya juga harap tuan puan memahami situasi sendiri sebelum membuat keputusan menjalani kimoterapi. Saya sudah berkahwin dan berumur 31tahun. Perkahwinan saya ketika itu hampir memasuki usia lima tahun. Saya bekerja sebagai pegawai kerajaan dengan gaji 3ribu sebulan. Namun, saya masih lagi belum disahkan jawatan dan berstatus kontrak. Sumber kewangan keluarga sepenuhnya dari saya. Ini kerana isteri saya yang berumur 26 tahun masih belajar di peringkat ijazah. Isteri saya masih mempunyai baki pengajian selama setahun setengah ketika itu. Saya yang menanggung kos pengajian beliau. Jika yuran pengajian tertangguh, kemungkinan pengajian beliau akan bermasalah. Dalam masa yang sama, saya mempunyai dua orang anak kecil. Seorang berumur 4 tahun dan seorang berumur 1 tahun. Anak kecil memerlukan kos untuk keperluan membesar yang sempurna. Jika saya gagal bekerja seperti biasa atau kehilangan punca pendapatan, isteri saya tidak akan mampu menyara kedua anak ini. Melainkan jika dia meminta bantuan kewangan dari pihak lain. Sudah tentu sebagai suami, saya tidak mahu hal itu berlaku.Dari situ, saya merujuk doktor dan bertanya berapa lamakah tempoh rawatan yang perlu saya lalui dengan kimoterapi. Doktor mengatakan 'kitaran pertama' bagi kimoterapi adalah selama enam bulan. Jika tidak sembuh, akan disambung kitaran kedua selama enam bulan lagi. Saya mula resah. Jika saya menjalani rawatan kimoterapi dengan status jawatan kontrak. Saya berkemungkinan kehilangan kerja. Kerana kita akui secara logiknya bahawa semua agensi tidak akan mengambil pekerja yang berpenyakit dan tidak mampu melaksanakan tugas dalam tempoh enam bulan. Doktor sendiri akui bahawa saya tidak akan mempunyai kudrat untuk melakukan kerja seperti orang biasa jika menjalani kimoterapi. Saya akan keletihan dan terlantar sahaja. Hal itu sudah memberi gambaran bahawa saya akan menjadi 'Mayat hidup' sepanjang rawatan.
Saya beranggapan bahawa rawatan ini tidak akan memberikan jaminan "Masa depan" yang lebih baik untuk kerjaya saya. Dengan kata lain, jika saya memilih untuk menjalani kimoterapi bermakna saya perlu bersedia untuk kehilangan pekerjaan. Hati saya mula serba salah.
Saya fikir, jika pembaca mempunyai sumber kewangan yang baik. Ada ibubapa yang boleh membiayai kos kehidupan dan rawatan. Maka, pembaca tidak perlu memikirkan situasi seperti yang saya sebutkan tadi. Kita berbeza. Mungkin kimoterapi adalah jalan yang sesuai untuk pembaca.
MENILAI KEKUATAN EMOSI
Secara jujurnya saya adalah lelaki yang suka bermanja dengan isteri dan anak-anak. Isteri saya orang Batu Pahat dan saya orang Kelantan, saya pernah menghantar isteri dan anak-anak pulang ke kampungnya selama seminggu di Batu Pahat. Kebetulan saya sibuk dengan berbagai kerja di Kelantan, mereka pulang ke sana tanpa saya. Saya terpaksa akui itu adalah minggu yang meresahkan dan sangat sunyi dalam hidup saya. Dari situ saya sedar bahawa saya tidak akan gembira jika hidup seharian tanpa melihat isteri dan anak-anak di depan mata. Justeru, saya akui bahawa mereka adalah sumber kekuatan hidup saya. Saya perlu pastikan mereka ceria dan gembira selama bersama dengan saya. Dengan itu, saya akan merasai kekuatan untuk terus berusaha membahagiakan mereka. Sebaliknya, jika mereka hidup dalam kemurungan dan sedih disebabkan saya... saya tahu, kesedihan itu akan membuatkan jiwa saya menderita. Situasi ini, semestinya tidak bagus untuk pengidap kanser. Kerana pengidap kanser perlu hidup ceria dan bahagia untuk membantu sistem tubuh berfungsi dengan lebih baik. Kemurungan akan menjadikan penyakit ini lebih cepat merebak dan menjadi ganas.Saya terus menilai jika saya memilih untuk kimo. Saya akan kehilangan kudrat untuk bekerja. Sebagai seorang suami, kehilangan pekerjaan dan menjadi manusia yang tidak berfungsi untuk menyara keluarga dan anak-anak adalah suatu 'kekecewaan yang besar'. Malah, ia lebih mengecewakan jika hidup dalam keadaan gagal memberi apa-apa malah terpaksa menyusahkan manusia di sekeliling. Bagi saya, situasi sebegini adalah lebih dahsyat daripada menjalani rawatan kimoterapi. Kenapa? Kimo hanya melibatkan diri saya seorang. Saya akan laluinya sendirian. Itu tidak mengapa. Jika saya mati, itu hanyalah ke atas diri saya. Tetapi, bila kesan rawatan itu menjadikan orang di sekeliling saya menderita. Ini lebih menyakitkan. Isteri saya dan anak-anak saya akan menjalani kehidupan yang lebih teruk.
Perkara yang paling sukar untuk saya gambarkan ialah rawatan kimo akan menjadikan sistem imunisasi badan menjadi sangat lemah. Doktor memberitahu, saya boleh mati jika mengidap demam atau selsema biasa. Saya perlu di kuarantin sepanjang rawatan tidak kira semasa berada di rumah atau di hospital. Saya tidak boleh bertemu dengan sesiapa sahaja sewenang-wenangnya. Termasuk isteri dan anak-anak saya sendiri. Setelah saya menjadi seperti 'mayat hidup' dan tidak berfungsi dengan baik. Dalam masa yang sama saya tidak boleh bersama dengan orang yang saya kasihi seperti biasa. Saya tidak boleh bermanja dengan anak dan isteri, saya juga tidak boleh memeluk dan mencium mereka sesuka hati. Maka ini sememangnya 'Proses yang menyedihkan'. Saya fikir, saya akan mati lebih cepat disebabkan kesedihan dan kekecewaan. Bukan disebabkan penyakit itu sendiri.
Saya makin tawar untuk menjalani kimoterapi. Walaupun doktor menyatakan kemungkinan saya akan sembuh dalam masa enam bulan. Enam bulan adalah tempoh yang panjang. Jika saya melalui proses ini, saya fikir emosi saya tidak akan tahan walaupun untuk tiga bulan pertama. Itulah saya. Saya tidak tahu bagaimana pula dengan pembaca.
Jika pembaca belum berkahwin dan tidak mempunyai sesiapa untuk dikasihi dan dicintai. Malah pembaca sendiri suka hidup bersendirian. Maka, pembaca tidak perlu memikirkan situasi yang saya sebutkan tadi. Kita berbeza dalam hal ini. Mungkin kimoterapi adalah jalan yang sesuai untuk pembaca.
MIND SETTING SEBAIK DISAHKAN MENGIDAP KANSER
Sebaik disahkan mengidap kanser, saya akui ia suatu kejutan. Walaupun ia sudahpun diramalkan, namun 'pengesahan' itu membuatkan kita seperti benar-benar terjaga. Seolah ada orang berbisik "Ajalmu sudah hampir" walaupun sebelum ini seringkali orang memberitahu "Mati itu hampir". Maka, ia memberi satu kesan emosi yang kusut dan meresahkan. Kebetulan saya ke hospital dengan isteri. Namun isteri saya menunggu di dalam kereta disebabkan tiada tempat parking. Saya mula memujuk diri sendiri semenjak di bilik doktor lagi. Saya memikirkan apakah cara untuk memberitahu isteri agar dia tidak merasa 'sedih'. Sedangkan saya juga sudah dilanggar dan dihempas dengan berbagai rasa dalam dada.Soalan yang saya tanyakan ketika itu, "Apakah yang saya takutkan sebenarnya?" sudah pasti ialah "Kematian". Jika kematian menjadi ketakutan utama, maka saya akui bahawa semua orang akan mati. Cuma, saya tidak menjangkakan seawal dan secepat itu. Lalu saya cuba selami realiti. Ramai yang lebih muda dari saya telahpun mati. Bukan mati kerana kanser, mati kerana berbagai punca. Ada yang mati kemalangan dan penyakit yang berbeza. Maka, saya perlu bersyukur kerana masih hidup dan diberi nafas sehingga saat ini. Walaupun masih banyak perkara yang saya mahu lakukan di usia 31 tahun. Namun, saya akui sudah banyak masa yang saya perolehi berbanding orang yang telah mati diusia muda. Maka, saya pujuk diri untuk bersyukur.
"Syukurlah... dapat hidup sampai umur 31. Ada yang mati lebih awal"
Kemudian saya tanya lagi apa "Ketakutan lain". Saya jawab sendiri, saya takut untuk melalui kesakitan yang panjang dan kehilangan masa depan yang menakutkan. Dari situ saya jawab sendiri, kesakitan adalah pengampunan untuk dosa-dosa saya. Saya tidak perlu berdukacita jika Allah mengampuni dosa saya. Malah, penyakit itu sendiri adalah tanda kasih sayang Allah. Dia mahu saya melaluinya dengan sabar. Saya terima walaupun bukan semudah itu. Manakala kehidupan yang bakal saya lalui tidaklah begitu menakutkan berbanding saudara saya yang berada di Somaliam, Iraq, Syiria dan Palestin. Mereka hidup dalam peperangan dan tiada masa depan. Mereka bukan sahaja tidak boleh bermimpi untuk hidup tahun hadapan, malah mereka tidak boleh bermimpi untuk hidup sampai ke petang. Mereka hidup dalam kesamaran dan ketidak pastian. Malah mereka juga tiada makanan yang cukup, bekalan elektrik yang terhad dan tiada tempat untuk merawat penyakit sendiri. Sedangkan saya hidup di Malaysia. Di sini ada kedai menjual makanan yang banyak, saya boleh cari dan pilih sendiri. Di sini ada kemudahan rumah yang selesa, ada kipas dan penghawa dingin. Saya boleh menonton TV dan mendengar radio sekalipun saya terlantar sakit. Malah, di sini saya ada ubat penahan sakit dan kedai farmasi yang banyak untuk mendapatkan ubat terpilih. Maka, saya masih hidup dalam nikmat.
Sekalipun saya sakit dan terlantar, saya tetap berada di tempat yang lebih baik berbanding saudara segama saya di Somalia, Syiria, Iraq, Palestin dan tempat-tempat malang di dunia. Penyakit yang saya hadapi ini juga, tidaklah menakutkan berbanding kehidupan umat Islam di Burma yang dibantai dengan pembunuhan oleh penganut agama lain. Saya WAJIB BERSYUKUR atas keadaan sekeliling saya.
Ucapkan "Alhamdulillah~ Alhamdulillah~ Alhamdulillah"
Setiap kali perasaan takut dan runsing menyerang. Saya cuma perlu ucapkan "Hasbiyallah wa ni'mal wakeel" (Cukuplah Allah bagiku dan dia sebaik-baik penolong). Memang saya memerlukan masa untuk benar-benar merasai ketenangan. Namun, saya bersyukur kerana Allah memberikan saya Mind Setting yang 'Positif' sebaik saya disahkan mengidap kanser. Saya akui saya diberikan ketenangan dan tidak memasuki fasa 'kekecewaan dan kemurungan'. Saya berharap tuan puan dan pembaca yang mengidap kanser segera mencari 'sebab' untuk merasa 'syukur' dengan kehidupan yang sedia ada. Jangan biarkan jiwa kita merasa 'malang' dan 'kecewa' sehingga mengucah emosi hingga bertabrakan. Kerana emosi yang tidak keruan memberi kesan buruk kepada kesihatan.
PENCARIAN RAWATAN ALTERNATIF DENGAN DOA, PEMBACAAN DAN USAHA
Sebagaimana yang saya jelaskan, situasi kewangan dan emosi saya memaksa saya untuk mencari jalan rawatan yang lain. Kimoterapi bukan jalan penyelesaian bagi masalah kanser saya. Bukan saya menolak rawatan itu atas sebab prejudis dan tidak percayakan doktor. Tetapi saya fikir, untuk sembuh saya memerlukan lebih dari kimoterapi. Rawatan kimo mungkin sesuai untuk orang lain, tetapi bukan untuk saya. Maka, saya mula mencari rawatan alternatif yang ada bagi melawan kanser.Saya ingin tegaskan bahawa, sebaik sahaja menerima pengesahan penyakit ini. Hati saya bagai ditarik untuk kembali kepada Allah. Dengan izin Allah saya mempunyai kekuatan untuk menenangkan diri. Mulai hari itu, saya bertaubat dan memohon kemaafan atas dosa-dosa saya. Dalam masa yang sama saya meminta agar Allah membantu saya. Saya bangun malam hampir setiap malam sekitar jam 4.30 pagi untuk melakukan solat hajat 12 rakaat. Saya juga beristikharah agar Allah menunjukkan saya rawatan yang terbaik. Saya membaca blog dan membuat carian penawar kanser di internet. Malah saya juga berjumpa dengan beberapa kenalan kepada pesakit kanser. Dari situ mendapat banyak maklumat.
Setelah saya melakukan CT SCAN dan mendapat kelulusan melakukan kimoterapi. Saya hanya mempunyai masa tujuh hari untuk membuat keputusan. Dari saat itu saya memenuhkan hari dengan doa dan solat hajat. Saya mohon keampunan dan jalan keluar dari masalah ini kepada Allah. Hati saya semakin kuat menyatakan bahawa saya perlu elakkan kimoterapi dan ambil alternatif. Akhirnya setelah istikharah saya bermimpi dengan sesuatu yang jelas. Peringatan, saya tidak anggap mimpi itu sebagai pemutus segalanya. Mimpi itu hanya menguatkan sahaja keputusan yang saya ingin ambil. Dari situ saya putuskan untuk memilih jalan saya sendiri.
DOKTOR DAN HOSPITAL TERPAKSA MENGABAIKAN SAYA
Dengan keputusan itu, akhirnya doktor dan hospital terpaksa mengabaikan saya. Kenapa? Itu adalah etika mereka. Bagi mereka, pesakit yang enggan melakukan kimoterapi seolah-olah memilih untuk membunuh diri. Maka, mereka tidak mahu bertanggungjawab jika apa-apa terjadi ke atas saya. Justeru, saya tidak salahkan pihak hospital ataupun doktor dalam hal ini. Begitulah cara mereka menghadapi pesakit kanser. Tiada pilihan yang diberikan kepada pesakit kanser melainkan kimoterapi. Bagi mereka, hanya kata dua. Kimoterapi atau mati. Itulah doktor yang ada di hospital hari ini. Sedangkan, dari segi aqidah yang menghidupkan dan mematikan adalah Allah sahaja. Malah masih ada orang yang masih hidup walaupun memiliki kanser bertahun-tahun. Cuma, saya ingin jelaskan bahawa jika anda mahu disisihkan dari hospital dan tidak mendapat layanan dari doktor. Maka, ada boleh memilih untuk tidak melakukan kimoterapi. Itu adalah etika dunia perubatan hari ini.ENAM RAWATAN UTAMA SAYA
Saya sudah jelaskana bahawa dengan memilih untuk tidak melakukan kimoterapi bermakna saya perlu berusaha sendiri merawat penyakit saya. Ia bukan jalan yang murah, mudah dan senang. Malah, ia satu jalan yang mahal, sukar dan perlu kepada beberapa usaha. Apa yang boleh saya ringkaskan dalam proses merawat kanser ini adalah saya perlu melalui enam rawatan.1) RAWATAN JIWA
(Tanpa Kos / tapi memerlukan ilmu)Tiada rawatan yang lebih utama dari rawatan jiwa. Iaitu memujuk diri sendiri untuk merasa 'syukur' atas apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai satu 'rahmat'. Jika kita memahami pesanan rasulullah SAW dengan baik. Terdapat nas yang jelas menyatakan bahawa penyakit adalah penghapus dosa dan pengangkat darjat di sisi Allah. Ia adalah satu 'tiket' untuk memudahkan kita ke syurga. Jadi, menerima tiket ke syurga adalah suatu yang patut disyukuri dan dianggap sebagai rahmat.
Rawatan jiwa adalah lebih kepada menjaga hal fardhu sebaik mungkin dalam masa yang sama menjauhi dosa. Itu sahaja. Namun, untuk mencapai rasa tenang yang lebih mendalam. Kita perlu melakukan terapi zikrullah. Membaca ayat 33 setiap pagi dan petang serta melazimi apa-apa zikir yang senang untuk dilafazkan.
Sepanjang pemerhatian saya. Sekiranya sebaik disahkan mengidap kanser, pesakit tidak dapat mengawal emosi. Tidak mampu menerima takdir dengan redha. Penyakitnya akan menjadi sangat agresif dan tubuhnya akan menjadi lemah serta merta. Tiada guna meneruskan rawatan bagi orang yang sudah 'Mati' semangat dan sudah rosak 'Sangka baiknya' pada kehidupan. Ubat tidak akan mampu memberi banyak kesan jika jiwanya sudah punah.
2) RAWATAN PEMAKANAN (DIET)
(Kos harian sedikit bertambah)Diet pemakanan adalah rawatan paling mujarab dalam mempastikan penyembuhan. Pemakanan seperti gula, daging merah, protein, produk tenusu, msg dan makanan segera adalah 'musuh' utama kepada tubuh pesakit kanser. Jika pesakit membuat kimoterapi atau apa sahaja rawatan tanpa mengamalkan diet yang betul. Semuanya akan jadi sia-sia. Kita melihat ramai pesakit kanser yang melakukan kimoterapi tetapi tiada perubahan, itu pasti kerana dietnya tidak betul.
Pengalaman saya sendiri, saya pernah melalui proses rawatan alternatif yang panjang. Pada awalnya saya masih boleh menahan 'pantang'. Tetapi, setelah berbulan-bulan menahan pantang. Saya tewas. Saya fikir diet hanya untuk beberapa bulan sahaja. Keadaan saya makin sihat dan saya 'sengaja' mengabaikan diet kerana selera makan yang tidak mampu dikawal. Akibatnya, keadaan saya menjadi sangat teruk dalam masa dua minggu sahaja. kanser saya menyerang organ utama seperti tulang belakang dan buah pinggang. Saya mula berpantang dengan serius semula. Alhamdulillah, keadaan masih boleh diperbaiki.
Apabila saya merujuk kepada beberapa doktor yang mengidap kanser dan sembuh. Mereka memberitahu kepada saya satu perkara penting. Pantang pesakit kanser adalah selama 5 TAHUN. Iya, 5 Tahun. Kenapa perlu lima tahun. Ini kerana kanser tidak akan hilang dan boleh menyerang dalam masa lima tahun pertama. Jika anda sembuh dan sihat dari serangan selama 5 tahun. Barulah bermakna tubuh anda sudah mampu melawan kanser sepenuhnya. Namun, itu hanya kemungkinan sahaja. Jika anda kembali kepada diet yang teruk dan tidak sihat. Anda kemungkinan akan diserang oleh KANSER JENIS LAIN pula.
3) RAWATAN AYAT AL-QURAN
(Tanpa kos / hanya perlu usaha dan masa)Rawatan ayat al-Quran adalah dengan merujuk kepada beberapa petikan ayat dari 8 surah. Anda boleh carinya di dalam internet. Google dan cari "ayat melawan sel kanser". Bacakan ayat ini pada air untuk minuman dan mandian.
Boleh tengok di banyak web, antaranya :
Sediakan sebotol secukupnya air yang bersih lagi suci dan setiap kali habis surah dibaca, ditiupkan kepada air. Pesakit dinasihat minum air bacaan tiap-tiap hari dan sapu/mandi pada anggota yang kena barah kanser. In Shaa Allah kerana sakit dan sembuh semua kekuasaanNya. Antara ayat-ayat yang perlu di baca adalah seperti berikut:Namun, bagi yang mahu menemui perawat Islam di darul syifa. Saya memberi penekanan agar 'berbuat' demikian. Ini kerana kebanyakan penyakit KANSER ada kaitan dengan sihir dan jin. Ia adalah penyakit yang dibawa oleh makhluk halus. Saya mendorong dan menggesa tuan puan yang terkena kanser agar mencari PERAWAT ISLAM yang betul. Bukan mencari bomoh!
- Surah Al Maidah (Ayat 82-91).
- Surah Al Araf (Ayat 70-81).
- Surah Ar Ra'd (Ayat 16-28).
- Surah Al Anbiyaa' (Ayat 38-50).
- Surah Asy Syu'ara (Ayat 185-227).
- Surah Az Zummar (Ayat 42-52).
- Surah Ghafir (Ayat 67-77).
- Surah Az Zukhruf (Ayat 52-70).
4) RAWATAN B17
(Perlukan kos minimum sebanyak RM400 sebulan untuk produk ini)B17 adalah vitamin yang wujud dalam biji aprikot dan pelbagai sayuran lain. Bagi saya adalah ubat yang 'Sangat mujabarab'. Saya tidak kata ia menyembuhkan, kerana bagi saya ALLAH SAHAJA PENYEMBUH segala penyakit. Namun, sepanjang saya mengambil B17. Saya sudah mencuba banyak produk biji aprikot. Saya tidak nafikan produk di pasaran semakin banyak. Cuma, hati-hati dengan penjual yang meletakkan harga sesuka hati. Saya sudah menemui peniaga yang harga produknya "DI BIBIR". Tiada tanda harga yang tetap. Hari ini sekian, esok harganya sekian. Peniaga seperti ini WAJIB DIJAUHI demi menjaga kewangan anda.
Saya syorkan pesakit mencari produk AFDHAL. Ia sudah dilabelkan, dipakejkan dengan baik, harganya sudah tetap dan dijual dalam pasaran menerusi kelulusan dari KDN. Ini produk yang telah mengubah banyak keadaan tubuh saya. Ia mujarab dan saya mengesyorkan agar tuan puan membeli produk ini.
http://apricotseedworld.com/
Peringatan saya. Jika tuan puan mahu mencari vitamin B17. Cari dari orang yang 'jujur' dan tidak mengambil peluang.
5) RAWATAN OZON
(Kos yang agak mahal. Sekali rawatan sekitar RM350. Biasanya rawatan ini dibuat sebulan sekali atau sebulan dua kali)Rawatan ozon agak mahal, tetapi berbaloi. iaitu rawatan mencuci darah. Ia bukan seperti dialisis. Rawatannya hanya sejam - sejam setengah. Ia bertujuan mengeluarkan toksik dalam darah, kolesterol dan menambahkan oksigen. Saya sudah melakukannya lebih dari 10 kali dan ia membantu saya untuk kembali sihat. Tidak kira apa jenis kanser, ia sangat membantu. Sekarangpun saya masih melakukannya. Pengalaman saya sendiri, sewaktu keadaan saya kembali kritikal disebabkan melanggar pantang. Saya terus ke pusat terapi ozon untuk mencuci darah. Keadaan saya langsung bertambah baik.
Justeru, bagi pesakit kanser yang punya 'wang lebih'. Jangan ragu-ragu mencuba rawatan ozon. Hampir semua pusat rawatan ozon di Malaysia ini dikendalikan oleh doktor dan jururawat. Tidak perlu risau dan ragu.
6) RAWATAN TRANSFER FACTOR
(Kos sangat besar. Sebulan perlu belanja RM2000 untuk mendapat dos yang berkesan bagi pesakit kanser)Produk terakhir yang saya cadangkan ialah Transfer Factor. Ia MEMANG BERKESAN jika diambil dalam dos yang cukup. Tetapi, jika ia diambil dalam dos yang tidak cukup atau tidak betul. Kesannya akan menjadi semakin buruk. Justeru, saya menasihati pesakit yang mempunyai duit bulanan yang BANYAK dan TETAP sahaja boleh mengambil produk ini. Jika ada tidak cukup wang untuk mengekalkan pembelian setiap bulan. Saya nasihatkan anda jangan mencubanya. Kerana ia tidak berbaloi untuk mencuba sebulan dan berhenti. Sekurang-kurangnya ia perlukan masa tiga bulan sehingga setahun lebih.
Saya sendiri terdesak mengambilnya kerana keadaan saya yang kritikal suatu masa dulu. Kini saya masih mengambilnya dalam dos yang minimum sahaja. Saya perlu tegaskan bahawa produk ini memang 'Berkesan' untuk memperbaiki sistem pertahanan tubuh dan kesihatan. Tetapi ia SANGAT MAHAL bagi orang yang berpendapatan sederhana seperti saya.
JUMPA PERAWAT YANG BETUL & JANGAN MUDAH AMBIL UBAT KAMPUNG
Saya mendoakan agar apa sahaja usaha yang tuan puan lakukan untuk berubat, semoga ia bertambah baik. Jangan putus berdoa dan meminta panduan dari Allah. Biar Allah bimbing kita setiap masa dalam membuat keputusan. Saya pernah dengar pesakit kanser yang sudah disahkan kanser oleh doktor pergi jumpa bomoh hantu. Ini perbuatan sia-sia malah membawa kepada syirik. Dua kali rugi.Satu lagi, jika ada orang menawarkan makanan organik seperti pucuk, daun, buah dan tumbuhan yang dikatakan 'mujarab' untuk melawan kanser. Jangan ambil dan makan selagi mana tidak jelas tentang dosnya. Ada orang yang minum air rebusan akar kayu. Minum sampai habis satu periuk, tiba-tiba kena serangan jantung. Ada yang makan ubat herba tanpa kelulusan KKM. Ada kesan sampingan. Sebaiknya, waspada dan jangan mudah terima produk yang 'dikempen' selagi mana belum ada pesakit kanser lain mengesyorkan. Sebaiknya, ambil beberapa kenalan yang mengidap kanser dan refer pada pemakanan mereka.
PENUTUP
Secara umumnya saya ingin nyatakan bahawa ini adalah artikel pertama yang saya tulis untuk berkongsi pengalaman. Saya juga ada bertemu dengan pesakit kanser lain dan mendengar pengalaman mereka. Namun, masa tak cukup untuk menulis panjang. Apapun saya ingin tegaskan bahawa "Kimoterapi" tetap ada kebaikan bagi 'golongan' tertentu yang tidak mempunyai masalah kewangan dan tekanan hidup. Bagi yang berkeadaan seperti saya, anda perlu menimbang sebelum membuat apa-apa rawatan. Semoga selamat menempuh kehidupan baru.Terima kasih kerana sudi membacanya dari awal sampai akhir. Semoga mendapat manfaat.
Sumber : http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=500770